25 Disember 2010

POTENSI BESAR TANAMAN ROSELLE DI KELANTAN.

Roselle atau nama saintifiknya Hibiscus Sabdariffa mula di tanam dan semakin berkembang di Kelantan. Ia tergolong dalam keluarga Malvaceae seperti tanaman bunga raya dan bendi. Di Kelantan, kawasan yang
dikenalpasti menanam tanaman ini sekitar Pasir Puteh seluas 12 ekar, Kota Bharu iaitu di Kemubu seluas 3 ekar serta Bachok di kawasan Beris Lalang dan Beris Kubor Besar masing-masing seluas 10 ekar.


 FAMA Kelantan telah menandatangani perjanjian (MOU) dengan 2 buah syarikat Bumiputera Kelantan yang memproses Roselle iaitu Murni Marketing Sdn.Bhd dan RMZ Products Sdn.Bhd. FAMA mengambil bunga Roselle yang belum di proses yang di petik daripada petani dengan menghantar kepada KPL Gong Kulim untuk diproses bagi mengeluarkan Kaliks yang terdapat dari bunga Roselle. Apabila telah siap dikeluarkan Kaliks Roselle tersebut, seterusnya Kaliks akan di hantar kepada syarikat Murni Marketing Sdn.Bhd dan RMZ Products Sdn.Bhd untuk diproses menjadi jus dan sebagainya.Kaliks terdapat dalam kelopak bunga Roselle diambil bagi memproses jus, sos, jem, jeli, halwa dan sebagainya.Kaliks Roselle mengandungi antosianin serta asid sitrik dan asid maliek, jadi sebab itulah Kaliks Roselle mengeluarkan cecair berwarna unggu kemerahan dan mempunyai rasa yang masam.

 Roselle sesuai di tanam di tanah bris kerana ia mudah mengeluarkan tunas yang baru selepas dipangkas setelah dipetik hasil bagi musim pertama dan mampu hidup lebih lama daripada semusim. Roselle mula berputik selepas 45-60 hari selepas disemai manakala kutipan kali pertama dilakukan 85-100 hari selepas disemai. Bagi menghasilkan jus yang lebih berkhasiat, buah Roselle  paling sesuai dikutip di antara 20-30 hari selepas bunganya menguntum. Roselle juga memerlukan penjagaan rapi seperti penggunaan baja, kawalan serangga dan kulat, serta kawalan rumput. Roselle hanya dapat bertahan dalam musim panas tetapi tanaman Roselle mudah dijangkiti penyakit reput daun dan batang pada musim tengkujuh. Oleh sebab itulah, tanaman Roselle perlu dijadualkan supaya peringkat tumbesaran pokok dan pengeluaran hasil buah tidak terjatuh pada musim tengkujuh.

Hasil pemprosesan Roselle iaitu jus daripada kedua-dua syarikat tersebut dipasarkan sendiri oleh mereka. FAMA bertindak sebagai perunding dan penasihat pemasaran, cara pembungkusan, serta perlabelan. Antara hasil proses yang dikeluarkan oleh Murni Marketing Sdn.Bhd ialah Kordial Cristal Roselle dan Cristal Jus Roselle. Manakala RMZ Products Sdn.Bhd. pula menghasilkan Kordial Roselle, Jus Roselle, Sos Roselle dan Halwa Roselle. Produk-produk ini mula mendapat tempat di pasaran seperti di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Kuala Lumpur.


Roselle mempunyai kandungan khasiat semulajadi yang kaya dengan Vitamin C, anthocynin dan antioksida. Kandungan Vitamin C di dalamnya melebihi buah-buahan lain seperti limau, betik, belimbing dan jambu batu. Ia juga mampu meningkatkan stamina dan daya tahan tubuh, memperbaiki metabolisme, merendahkan tekanan darah tinggi, awet muda dan memudahkan pencernaan makanan.

 FAMA Kelantan menggalakkan lagi petani-petani di Kelantan agar menceburi tanaman Roselle bagi menggantikan tanaman tembakau di mana Roselle menguntungkan dan mempunyai potensi tinggi untuk di komersilkan dan di pasarkan ke luar negara bagi memperkenalkan produk pertanian buatan Malaysia di mata dunia

P/s : Artikel dari FAMA

1 ulasan:

  1. Bleh sya tahu, dimana sya boleh dapatkan roselle di kelantan utk kegunaan projek tahun akhir sya?

    BalasPadam

komen yang baik, dapat memberikan kesan dan penambahbaikan kepada syarikat kami.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...