27 Januari 2010

ROSELLE BERI TUAH KEPADA BEKAS PETANI TEMBAKAU


BACHOK:  Tanaman roselle yang diusahakan 150 petani di Pasir Puteh dan Bachok, yang sebelum ini menanam tembakau, mendapat tempahan dari dua buah kilang pengeluar air minuman.
Tempahan itu diperolehi melalui usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan baru-baru ini
bagi membekalkan 30 tan metrik roselle sebulan mulai 1 Ogos depan.
Timbalan Pengarah FAMA Kelantan Fauzi Mohamad berkata sehubungan itu satu memorandum persefahaman antara FAMA, petani terbabit, Murni Marketing Sdn Bhd yang beroperasi di Tawang, Bachok dan RMZ Produk Sdn Bhd di Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh akan ditandatangani di sebuah hotel di Kota Bharu pada Ahad ini.
Menerusi perjanjian itu ia akan memberi jaminan harga yang munasabah dan stabil kepada petani manakala pihak pengilang pula akan mendapat faedah bekalan bahan mentah yang mencukupi bagi keperluan kilang masing-masing, katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Fauzi berkata petani terbabit sedang mengusahakan tanaman berkenaan dengan kerjasama pejabat pertanian kedua-dua jajahan itu yang membabitkan kawasan seluas 61 hektar.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Pemasaran Murni Marketing Sdn Bhd Ismail Abdul Rahman berkata kilangnya kini mampu mengeluarkan antara 2.5 hingga lima tan metrik pelbagai produk minuman dalam masa seminggu.
Beliau berkata ini termasuk kordial, jus minuman, halwa, jem, teh dan toping ais krim bagi keperluan tempatan termasuk pasaraya-pasaraya.
Syarikat itu juga mengeksport produk mereka ke India, Asia Barat, China, Perancis dan Australia yang memerlukan 40,000 botol produk berkenaan dalam sebulan.
Ismail berkata berdasarkan sambutan yang menggalakkan pihaknya akan membelanjakan RM500,000 untuk memperbesarkan kilang dan menyediakan mesin-mesin yang lebih canggih.
Katanya kajian yang dibuat oleh pakar-pakar tanaman menunjukkan kandungan vitamin C yang dihasilkan roselle lebih tinggi daripada bahan mentah lain termasuk buah-buahan.BERNAMA

1 ulasan:

  1. lebih baik tanam roselle la dari tanam tembakau..

    sebab tembakau ni punca/asal rokok wujud, so rokok 2 mmbahayakan kshtn.

    roselle pulak selain sedap(nnt nk try) berkhasiat pulak 2...

    BalasPadam

komen yang baik, dapat memberikan kesan dan penambahbaikan kepada syarikat kami.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...